Baju          kurung Teluk Belanga juga lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju          kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita.
              ![]() Baju Kurung Teluk Belanga  |            
Dari          segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan          Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga,          Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju          Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu          Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri          lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat          Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk          Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak          dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat          dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan          tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju          tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan          wanita pada dasarnya adalah sama kecuali;
a)          Baju yang dipakai oleh lelaki labuhnya adalah separas punggung, alas lehernya          lebar dan mempunyai tiga kocek iaitu di dada kiri, di dada kanan dan di          bahagian bawah hadapan baju, manakala baju kurung yang dipakai oleh kaum          wanita pula labuhnya hingga ke lutut dengan satu kocek di dada kiri atau          pun tanpa kocek.
          b) Kaum lelaki memakai baju ini dengan seluar panjang samada seluar Acheh          atau Seluar panjut Kaum wanita pula memadankannya bersama kain samada          kain dari jenis batik, songket atau sutera. Kain ini pula diikat dengan          ikatan yang bernama ombak mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang          letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung lazimnya diletakkan          ke belakang apabila dipakai dengan baju kurung ini. 
Pada          masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar,          iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung          untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar          berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping          lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada          lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang          pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan          ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar          ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan          kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat          Melayu zaman dahulu. 























